Alkisah.. tersebutlah alkisah sebuah persidangan dijalankan di negeri atas angin. Adapun persidangan ini terdiri daripada beberapa bahagian. Tujuannya tidak lain tidaklah bukan, untuk memutuskan ke mana harusnya rakyat sekelian dibawa makan angin. Makan angin atas negara saljikah atau negara atas pulau.
Sehubungan itu, kesemua rakyat tidak kira besar kecil, tua muda, duda janda, janji sudah baligh akal untuk mengundi disuruh keluar mengundi. Keluarlah sekalian rakyat. Ada yang mahu ke negara salji, ada yang mahu belayar ke pulau jauh di seberang lautan, ada yang pakat-pakat mahu jalan-jalan cari makan. Setelah hampir sepurnama, keputusan pun dicapai. Kebanyakan rakyat mahu bersukaria di negara atas pulau. Bagi yang gayat air, mahu menginap di atas darat sahaja.
Persidangan pertama pun dijalankan. Ahli sidang dipilih tangan ghaib, terpinga-pinga datang menghadiri sidang. Maka diberitakan kepada mereka dua negara menjadi pilihan rakyat. Satu negara atas pulau bernama Ting Ting Man, satu lagi negara tepi air bergelar Sa De De. Juri-juri khas sidang membentangkan betapa Sa De De tidak sesuai utk dijadikan tempat rakyat berkumpul. Rupa-rupanya Sa De De memakan masa sepurnama utk tiba ke sana (klu berjalan kaki ramai2). Maka, menanglah negara Ting Ting Man. Menjadi tempat pilihan ramai.
Diberi pula ahli-ahli sidang memilih, andaikata Ting Ting Man gagal ditemui lantaran pak-pak pendayung sampan kini semuanya kehilangan kompas maka pilihlah negara lain. Maka terkeluarlah cadangan bijak pandai, " Apa kata kita semua ke negara atas angin sahaja arakian kita sendiri dari negara atas angin." Semua ahli sidang mengangguk2 bak burung belatuk bersetuju.
Dua negara atas angin dibentangkan. Negara Tom Tom Bak yang terkenal dengan deruan air terjun buatan dan permainan rakyat yang ada antaranya tidak pernah didengar sebelum ini. Negara kedua, Ser Ser Ser yang terkenal sekali kerana setiap rakyat yang mahu ke ufuk barat pasti dapat melihat Ser Ser Ser melambai tenang mengajak ke sana.
"Baiklah, akan kita semua tubuhkan pasukan pemantau. Melihat-lihat bahaya dan onak duri yang perlu dilalui untuk ke salah satu negara ini."
Sekali lagi, ahli-ahli sidang meniru aksi burung belatuk bersetuju. Dimaklumkan, persidangan kedua nanti akan menentukan negara mana yang lebih selamat dan aman. Sidang ditamatkan dengan cendul istimewa Maniam yang suka memberi tosei percuma. Maka baliklah arakian ahli sidang melaporkan kepada orang-orang kampung akan dua negara ini.
Sementara menanti persidangan kali kedua, pasukan pemantau yang terdiri daripada 4 org kampung Cik Di, seorang kg Cik Bas dan seorang ahli bebas bertolak ke negara Ser Ser Ser. Mereka difahamkan, tidak usahlah ke negara Tom Tom Bak kerana negara itu sedang bergolak berebut putik durian. Jadi ke Ser Ser Ser mereka berlima. Menempuhi onak duri, bersama-sama.
Maka di persidangan kedua, laporan pasukan pemantau dibentangkan. Ditekankan sekali lagi negara Ting Ting Man tidak boleh dipilih kerana duti importnya yang amat mahal. Negara Tom Tom Bak pula masih bergolak maka pasukan pemantau hanya dihantar ke negara Ser Ser Ser. Ketika itu, ahli-ahli sidang yakin Ser Ser Ser laa destinasi cinta mereka. Namun tiada kilat, tiada petir juak-juak membentangkan negara baru, negara yang tidak pernah dibincangkan pun di persidangan pertama dahulu. Ahli-ahli sidang sekali lagi terpinga-pinga. Negara baru itu digelar negara Laksamana Bulat.
Katanya, negara Laksamana Bulat ini baru sahaja dibentuk. Belum ada PM, belum ada Deputy PM, malah parti politik pun belum tentu sudah mantap. Tetapi katanya laa, negara ini cukup umpphhh. Gabungan antara negara atas angin dan atas darat. Kerana letaknya di darat, dan berangin sepoi-sepoi bahasa.
"Ini tidak adil," ahli sidang membantah. "Tak ada guruh, tak ada hujan, bagaimana pula Laksamana Bulat boleh hadir dalam persidangan. "Bukankah sidang dahulu sudah diputuskan antara dua sahaja, antara Tom Tom Bak atau Ser Ser Ser. Bukankah sudah cukup jelas, Ser Ser Ser pemenangnya.
"Tapi negara Laksamana Bulat negara moden, nak tengok tv tak payah tekan apa-apa, jerit sahaja sudah terpasang sendiri," juak-juak mempertahankan rekod tak mahu kalahnya.
"Tapi Ser Ser Ser cukup sesuai. Ibu-ibu mengandung boleh berehat dengan aman di sana. Anak-anak yang baru sihat demam boleh terus kebah dan tak payah masuk wad duduk di situ. Ayah-ayah pencinta kesihatan boleh mendaki tebing tinggi untuk bersenam, kanak-kanak riang boleh berlari kaki ayam di mana-mana."
"Ser Ser Ser tidak cukup tapak beriadah sama besar untuk semua rakyat. Nanti ada rakyat mengamuk bila ada yang dapat tapak sebesar nyiru, ada yang dapat tapak sebesar tempurung kelapa," juak-juak kedua membela juak-juak pertama.
"Laksamana Bulat tidak ada tempat untuk bercengkerama. Nanti rakyat mati kebosanan terperuk," ahli sidang baru pandai bercinta bangkit mempertahankan Ser Ser Ser.
"Arghhhh!!!! Kami sudah menyediakan aturcara ketat, gerenti tak payah bercengkerama. Setiap seminit kena mencabut rumput," juak-juak pertama sudah mula lebam mukanya.
"Bertenang, bertenang semua," nakhoda sidang cuba meredakan ketegangan. "Beginilah, yang ke Laksamana Bulat anak buah juak. Kalau putih katanya, putihlah. Kalau hitam, hitamlah."
"Kalau sudah begitu caranya mengap mahu menghabiskan kulit kayu buat kertas undi, mengapa kami disuruh bersidang bila suara ramai ditolak ketepi. Persidangan apakah ini? Persidangan UM@O peringkat tadika?" Ahli sidang tidak mahu dikenali bertanya lantang.
Juak-juak semua tersipu-sipu. "Kami fikir duit tabung negara kami yang punya, jadi suka hati kamilah nak kemana."
Begitulah ahli-ahli sidang dipermainkan.